Saturday, April 17, 2010

Kejar Usaha!

Suasana pagi hari ini segar. Angin dan bayu selepas renyai hujan musim bunga Eropah melambai dan seakan menyapa saya yang sedang ketika itu melangkah berjalan. Awal pagi tadi saya bergerak ke kelas. Berjalan kaki pada jarak hampir 1.5km dari rumah kediaman saya ke kampus utama universiti. Saya tahu, senaman yang terbaik bukanlah angkat berat 50kg, bukan pula bermain futsal dan melontar peluru besi 100kg, tapi yang terbaik itu adalah berjalan kaki dengan kelajuan lebih sedikit daripada berjalan kaki pada kelajuan biasa.

Setibanya saya di pintu depan universiti, saya terlihat kelibat 2 orang pelajar perempuan Malaysia. Mereka bergerak pantas memasuki universiti. Kemudian beberapa saat selepas itu, di hadapan saya berhenti sebuah van awam, dan keluar daripada van itu 2 orang pelajar lelaki Malaysia yang amat saya kenali. Mereka berdua itu 'adik-adik' saya. Saya rapat dengan mereka, dan mereka juga kenali saya.

Kemudian kami bertemu, sempat bersalaman dan dalam waktu yang bersegera itu saya pun bertanya: "Nak pergi mana ni?"

Mereka menjawab: "Lecture..biochem.."

Mereka pun bertanya soalan sama kepada saya dan saya pun menjawab: "Kelas O33"


Kemudian dalam beberapa saat kami pun berpisah, membawa haluan ke arah matlamat masing-masing untuk memulakan pagi pada hari itu.

Dalam pada itu, saya tersenyum. Satu perkataan yang boleh saya katakan tentang mereka - Kagum. Saya berasa sangat kagum bila bertemu mereka. Saya bangga dan bersyukur memiliki adik-adik seperti mereka. Dan saya rasa lebih bersemangat untuk terus mendoakan mereka berjaya sehingga ke akhirnya.

Bila kita berbicara tentang belajar dan berjaya, satu titik penting yang kita selalu lupa dan gagal adalah usaha. Bila hebat usahanya, maka hebat pula keputusannya. Tapi ada juga yang hebat usahanya tapi masih belum nampak kejayaannya. Disini tidak perlu kita menyalahkan sesiapa, tapi berbaliklah untuk menilai semula usaha kita. Kalau sudah dinilai sehabis baik usaha itu tapi tiada lagi cahaya jayanya, mungkin boleh kita anggap ini adalah ketetapan dan ujian dari Allah. Ya, itu adalah ujian Allah untuk menilai sejauh mana kita mengejar usaha, atau kita sudah tersesat pada matlamat yang tidak sepatutnya; seperti mengejar pencapaian, markah, pujian, habuan, dan segala-galanya yang berkaitan pandangan dan tuntasi pemikiran manusia kepada kita.

Golongan yang paling dahsyat bagi saya juga wujud, iaitu mereka yang hanya tahu berkata bahawa 'Aku ingin berjaya, aku ingin menjadi lebih baik, aku mencapai itu dan ini'. Tapi tiada selangkah pun langkahan itu bermula, yang ada hanyalah kumat kamit pada mulutnya berkata. Golongan ini adalah mereka yang jauh ketinggalan. Meskipun mereka boleh berjaya tanpa berusaha, mereka perlu tahu, itulah ujian yang 'special' Allah tujukan buat mereka. Hanya semata-mata untuk mereka nilai, berbaloikah kejayaan mereka itu tanpa usaha? Sesungguhnya Allah menilai pada usaha kita, bukan keputusannya. Dalam da'wah juga sebegitu prinsipnya, Allah tidak menilai berapa ramai boleh kita bawa orang lain untuk dekat pada Pencipta, tapi yang Allah pasti lihat adalah usaha kita yang bersungguh, komitmen kita mencapai matlamat, dan sudah pastinya istiqamah menjadi pengukur utama. Allah tidak menilai berapa besarkah amalan kita, tapi yang dinilai adalah istiqamah dalam beramal, biarpun hanya kecil amalan itu nilainya, tapi dengan istiqamah, ianya besar sungguh disisi Allah!

Daripada kita mengeluh, merintih dan merayu nasib, ada perlunya untuk kita bangkit. Ada kepentingannya untuk kita duduk sejenak dan fikir mendalam, apa yang perlu kita lakukan, langkah mana yang perlu kita mulakan - demi mencapai matlamat itu. Fikirlah tentang usaha, bukan fikir tentang keputusannya! Usaha itu boleh kita manipulasikan, tapi keputusan itu hanya Allah yang menetapkannya. Kita sebagai hamba hanya boleh meminta, berdoa kepadaNya, dan meningkatkan lagi usaha. Dan itulah prinsip hidup seorang hamba yang sewajarnya perlu meletakkan segala-galanya pada keputusan Allah yang mengatur segalanya. Itulah tawakkal.




Untuk kita terus melangkah, rasa penat itu tidak pernah lari. Hendak ke hadapan itu sememangnya sukar, perit dan penuh duri-duri tajam yang bengis mencucuk kaki ini. Andai kata kita berhenti daripada terus melangkah, itu bermaksud bahawa kita tewas, dan hanya di garisan permulaan kita perlu bermula kembali, bukan ditapuk lama, dengan cara lama dan tiada perubahan diri, tapi dengan diri yang ada ertinya muhasabah, dengan diri yang seakan lahir mencari identiti sejati berlandaskan matlamat yang hakiki, iaitu matlamat yang mana kejayaannya besar hanyalah disisi Allah ta'ala.

Semoga berjaya dan selamat berusaha. Bila kita meletakkan niat dan azam, maka berusahalah mencapainya, bukan seperti menumbuh padi, tanpa ada semaiannya.

1 comments:

atikullah ismail™ said...

perkongsian yg sgguh menarik..mkaseh2..

Post a Comment