Monday, March 1, 2010

Medik : Bukan Sekadar Ilmu

“Maaf kepada para pembaca kerana blog ini telah lama tidak dikemaskini atas kesibukan penulis. InsyaAllah, dengan izinNya penulis akan cuba memaksimumkan penulisan di laman kesihatan dan kerjaya perubatan ini sebagai perkongsian bersama. Selamat Membaca”


Doktor itu pada praktiknya, bukan ilmu semata. Kata-kata ini ada betulnya. Malah medik itu sendiri bukan sekadar menghafal teori, tapi yang lebih penting adalah memahami dan mengaplikasi. Orang yang kurang menggunakan neuron akalnya, mereka juga boleh menghafal. Tetapi untuk memahami dan mengaplikasi, hanya akal yang maksimum penggunaannya boleh membantu.


Semuanya bermula dengan satu sejarah dalam hidup saya, dalam era pelajar perubatan. Bukanlah sejarah yang rumit seakan rentetan kemerdekaan negara, tapi saya namakan ia sebagai sejarah kerana ia mendidik dan mengajar saya, dan menyumbang sedikit sebanyak aspirasi kepada diri saya dalam trek kerjaya perubatan ini.


Apa yang saya maksudkan adalah praktikal. Ramai rakan-rakan saya diseluruh dunia ini juga pernah menjalani praktikal. Saya juga pernah menjalani praktikal sejak di tahun 2 medik disini. Namun, praktikal pada kali ini lain bagi saya.


Beberapa minggu yang lepas, saya dan beberapa sahabat saya telah memulakan praktikal khas di hospital-hospital terpilih di Volgograd, Rusia. Saya namakan ia ‘praktikal khas’ kerana ia ditaja oleh penaja. Terdapat 2 bidang praktikal yang perlu kami jalani, iaitu praktikal surgery dan praktikal therapy (internal diseases).

Buat masa ini, hanya praktikal surgery yang perlu dijalani. Kesemuanya sebanyak 5 kali. Bermula selepas selesai academic hours, selama 2 jam.


Pada hari pertama praktikal tersebut, saya sudah merasai gentarnya. Penat tidak terkata. Apa tidaknya, academic hours hampir setiap hari berakhir pada jam 4.30 atau 5 petang. Kemudian saya perlu lagi untuk ke praktikal! Teaching hospital saya terletak agak jauh dari main campus, lebih kurang 45 minit hingga 1 jam perjalanan dengan van awam, atau mungkin lebih lama dengan menaiki tram.


Pada hari pertama itu, saya sampai ke hospital hampir pukul 6 petang. Istimewanya praktikal ini, hanya 2 orang pelajar untuk seorang surgeon. Setibanya kami, rupa-rupanya surgeon tersebut telah pun menunggu kami. Lantas tanpa menyoal banyak, kami terus menyalin pakaian dan bergerak ke OT.


Seorang pesakit terlantar. Beberapa orang surgeon sedang khusyuk melakukan laparoscopy. Phlegmonous appendicitis! Jeritan itu yang saya dengar. Laparoscopy tersebut untuk melihat keadaan appendix pesakit tersebut, dan keputusannya, pembedahan membuang appendix yang didapati telah dijangkiti itu perlu segera dilakukan tidak lebih 6 jam! Semua mereka termasuk OT nurses bersiap siaga untuk appendicectomy (total removal of appendix). Ini bukanlah kali pertama saya bakal melihat appendicectomy. Tapi mungkin tanggapan awal saya meleset, kerana saya bukan akan sekadar melihat, tapi saya ditawarkan untuk menyertai surgery tersebut! Itulah pengalaman saya yang pertama untuk menyarung sterilized surgical coat dan memakai sterilized surgical gloves. OT nurse yang menyarungkan dan memakaikannya, dan saya rasakan seakan seorang surgeon yang baru lahir secara tiba-tiba! Bagaikan bidan terjun, kerana saya langsung tidak menyangka akan terlibat dalam operation, dan saya tidak pun bersedia untuk operation tersebut, ditambah pula terlalu penat setelah sehari suntuk kelas dan kuliah.




Sepanjang surgery saya menjadi assistant surgeon. Beberapa manipulations yang saya masih belum faham dan teragak-agak, mungkin head surgeon yang akan melakukannya dan menunjukkannya kepada saya. Mungkin beberapa kali ditegur kerana silap dan cuai, tapi saya perlu kuat dan mengambilnya secara posotif kerana itu salah satu persediaan mental untuk menghadapai zaman HO di Malaysia kelak. Bila ditegur, saya hanya membuat ekspresi serius dan mengangguk, dan saya akan ingat kesilapan saya sampai bila-bila.


Hari pertama tidak berakhir disitu sahaja. Kemudian kami berdua dibawa berjumpa 2 orang pasakit, masing-masing dengan inguinal hernia dan varicocele. Saya buang rasa janggal dalam diri saya dan saya lakukan semua PE yang ditunjuk ajar surgeon kami. Sangat banyak telah kami pelajari walaupun baru sehari kami ke praktikal khas ini.


Memang saya akui, kehidupan dalam bekerjaya seorang doktor bukan mudah. Setiap langkah mereka memerlukan akal yang bergerak seiring. Hari-hari yang berikutnya, lebih ramai pesakit telah kami jumpa dengan pelbagai diagnose. Terdapat juga pesakit yang baru, dan kami bersama-sama surgeon membuat diagnose bersama. Pesakit dengan diagnose DVT, acute pancreatitis, pelbagai jenis hernia, cholecystitis, acute intestinal obstruction. Kami juga diajar untuk lebih mudah membaca X-ray films dan mencari specific signs seperti dalam kes intestinal obtruction, perforated ulcer dan lain-lain. Kami juga diajar melihat thrombi dengan US, memerhati teknik pleural puncture seorang pesakit dengan left and right-sided hydrothorax.


Setiap kali ke praktikal pada hari-hari berikutnya, surgeon yang mengendalikan kami seakan ‘wajib’ membawa kami ke ‘reanimation department’. Pada mulanya saya agak kurang selesa, tapi saya perlu untuk menyesuaikan diri dengannya. Di sini, pesakit yang kami jumpa tidak lain adalah pesakit dalam situasi koma, post-comatous, post-op, severe trauma dan banyak lagi yang agak tenat situasinya. Bukan sekadar melihat, kami diajar melakukan PE untuk pesakit-pesakit seperti ini, dan untuk pesakit post-op, kami perlu melihat keadaan wound dan bandage sekiranya terdapat darah atau sebagainya. Kami perlu palpate dan bertanyakan tentang kesakitannya atau tidak. Kami perlu juga melihat setiap drainage containers, dan terdapat beberapa pesakit dengan coffee-ground vomitus, dan dia mengalami upper GIT bleeding. Daripada mendapat ilmu yang berguna sehingga terpaksa menahan bau-bauan yang kurang menyenangkan walaupun memakai mask, itu semua sejarah yang tidak akan kami tinggalkan sedikit pun iktibar dan pengalamannya.


Daripada berjumpa seorang dua pesakit sehingga melakukan ward round, saya rasakan teaching hospital tersebut bagaikan ‘rumah kedua’ saya. Ke hulu ke hilir, ke sana dan ke sini. Sedikit sebanyak dapat saya gambarkan bagaimanakah kelak ketika sudah mula bekerja. Sudah tentunya sibuk dan memenatkan.


Mungkin terlalu banyak untuk saya tuliskan disini. Pengalaman menjalani praktikal walau dimana pun jangan sesekali pelajar sia-siakan. Berjumpa dengan pesakit dan melakukan diagnose terhadapnya, bagi saya itulah asas utama dan penting untuk kerjaya perubatan pada masa depan. Masuk ke OT dan menjadi assistant dalam appendicectomy, bagi saya itu hanyalah extra point, yang boleh menambah pengetahuan dan membina kekuatan mental dalam diri kita. Memang saya akui, ketika ditegur dan dimarahi, apatah lagi dengan surgeon dari Rusia ini, saya dapat merasakan semangat itu ada dan terus membara. Saya tanamkan azam untuk terus kental dan lebih tekun dan gigih berusaha sedaya yang termampu untuk saya lakukan. Sebagai pelajar perubatan tahun ke 4, saya tidak banyak lagi masa untuk membina ilmu yang cukup kukuh, apatah lagi menyediakan diri saya ke dalam dunia perubatan yang ‘dewasa’ kelak.


Mungkin semangat saya untuk ke praktikal therapy selepas ini akan semakin kuat. Di therapy, kemahiran melakukan diagnose itu sesuatu yang sangat penting dalam asas medik. Kemudian dari situ kita akan bina kemahiran untuk DD (differential diagnosis) pula. Tapi keinginan saya untuk ke praktikal surgery tidak terhenti hanya selepas 5 hari. Dijadualkan praktikal surgery kali kedua akan saya jalani sepanjang musim panas pada bulan 7 kelak. Disebabkan saya tidak pulang ke Malaysia kerana kesuntukan masa cuti, saya memasang azam, sekiranya dibenarkan, untuk melanjutkan praktikal saya sehingga semester baru bermula pada awal bulan 9. InsyaAllah.


Saya berharap rakan-rakan saya, dan adik-adik saya disini, akan dapat memanfaatkan praktikal ini sebaiknya. Biarpun sedikit, pengalaman itulah perkara yang amat penting. Bina kekuatan dan bina semangat. Semoga berjaya.

Leia Mais…